Cuepacs Sarawak mohon elaun untuk Sabah dan Sarawak setelah Malaya terima kenaikan RM50 elaun kos sara hidup

Omar Bahrein Unin

KUCHING, 24 Sept: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak memohon kerajaan persekutuan untuk pertimbang elaun yang sesuai untuk penjawat awam di Sabah dan Sarawak bersamaan dengan kenaikan RM50 Elaun Kos Sara Hidup (Cola) yang dinikmati penjawat awam di Semenanjung Malaysia.

Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbang dalam pembentangan Belanjawan Negara yang akan datang.

“Walaupun penjawat awam di Sarawak telah mendapat elaun wilayah mengikut peringkat peratusan yang ditetapkan dengan gaji asas, tetapi ia adalah elaun sedia ada yang memang telah dinikmati tanpa pertambahan perbezaan RM50 sebulan yang dinikmati penjawat awam di Semenanjung Malaysia sejak Januari 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Omar turut memohon kerajaan untuk membuat semakan ke atas enam peringkat peratusan bagi elaun wilayah penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang tidak disemak sejak pelaksanaannya dari tahun 1988.

Katanya, enam peringkat peratusan ini masih diguna dengan disesuaikan apabila berlaku perubahan atau terdapat kenaikan gaji dalam sistem saraan baharu perkhidmatan awam.

Beliau juga berpendapat satu sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam perlu diadakan sesuai dengan perkembangan semasa terutama dari segi penggajian (gaji minimum) sesuai dengan kos sara hidup, kelayakan masuk perjawatan dan paras garis kemiskinan kebangsaan yang turut meningkat kepada RM2,208 sebulan.

Sistem saraan terkini telah digunapakai sejak tahun 2002.

Selain itu, beliau turut memohon peruntukan khas pembelian cermin mata untuk penjawat awam kerana kos bagi membuat cermin mata turut menjadi beban serta meningkat setiap tahun.

Beliau turut berharap beberapa perkara yang telah diumumkan oleh kerajaan pada tahun 2018 dapat dilaksanakan. Antaranya adalah kenaikan satu tingkat ke atas kenaikan gaji tahunan (KGT) semua penjawat awam, pengwujudan Gred DG56 bagi guru, kenaikan pangkat secara ‘time based’ kali kedua dipendekkan dari 13 tahun ke 10 tahun dan penyelarasan kenaikan pencen bagi pesara dari dua peratus ke tiga peratus secara tahunan.

Omar turut menyeru kerajaan untuk percepatkan pelaksanaan tuntutan tunai sehingga 50 peratus Cuti Gantian Rehat terkumpul bagi penjawat awam yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada tahun 2019.

“Cuepacs Sarawak juga memohon bonus tahunan dapat dipertimbangkan kepada penjawat awam tidak seperti bantuan kewangan yang sering diumumkan sejak 10 tahun sebelum ini sebagai penghargaan untuk khidmat yang diberikan penjawat awam.

“Kami memahami kekangan di pihak kerajaan terutama melibatkan kewangan semasa pandemik Covid-19 ini namun ramai penjawat awam yang terkesan kerana kebanyakan mereka adalah dari golongan B40 dan M40,” katanya lagi. — DayakDaily