Cuaca kering, kebakaran hutan jejaskan bekalan air

Keadaan Loji Bayai di Sri Aman yang kekurangan sumber air.

KUCHING, 13 Ogos: Operasi membekal air berterusan terjejas, susulan cuaca kering serta kebakaran hutan dan tanah gambut yang melanda Sarawak pada masa ini.

Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, menerusi kenyataan hari ini, berkata kebakaran hutan dan tanah gambut di Daerah Mukah baru-baru ini telah menjejaskan bekalan air ke  Kpg Penipah, Kpg Tekajong dan Kpg Bruit dibawah bidang kuasa JBALB.

Kebakaran tersebut juga telah membakar beberapa bahagian saluran paip air (HDPE) seterusnya menyebabkan kebocoron.


Kakitangan JBALB tiada akses ke tapak untuk mengenalpasti kerosakan dan menjalankan kerja-kerja membaiki, berikutan asap tebal dan bahang dari api.

Sementara itu di Daerah Sri Aman, bekalan air ke kawasan penempatan berkurangan susulan tekanan air rendah. Ini berikutan tahap air semasa di Loji Bayai adalah sangat kritikal.

Sungai yang merupakan sumber air ke Loji Bayai, Sri Aman, berada di paras kritikal akibat cuaca kering.

“Untuk mengatasi masalah tersebut, JBALB menjalankan kerja-kerja pengorekan di kawasan pengambilan air untuk menangani masalah pengeluaran air rendah.

“Selain itu, JBALB telah mengeluarkan notis awal dimana cuaca kering berpotensi menjejaskan bekalan air kepada pengguna di Daerah Sri Aman,” menurut kenyataan tersebut.

Susulan cuaca kering ini, pengguna digalakkan untuk menggunakan air secara berhemah, ia berkata.

“Di kawasan yang kekurangan bekalan air di sepanjang tempoh ini, JBALB akan menghantar bekalan air ke kawasan terjejas dengan kadar segera.” — DayakDaily