Covid-19: Malaysia catat kes harian tertinggi dengan 1,240 kes, 7 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Okt: Malaysia hari ini mencatatkan kes baharu harian positif Covid-19 tertinggi dengan 1,240 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan kes komulatif positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 27,805 kes dengan kes aktif sebanyak 9,744 kes.


Katanya, daripada kes baharu itu juga, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 927 kes atau 74.8 peratus dari jumlah kes seluruh negara.

“Jumlah ini melonjak semula berikutan kes positif di Penjara Kepayan iaitu 439 kes. Ini berikutan lebih banyak pengesanan kes secara aktif dijalankan di Sabah.

“Selain itu, mobilisasi petugas kesihatan telah banyak membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan.

“Aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambahbaik bagi membolehkan keputusan ujian RTK-Ag dan RT-PCR dapat diperoleh dengan lebih cepat,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media hari ini.

Tambah beliau, kesemua kes yang dilaporkan itu membabitkan 1,238 penularan dalam negara dan dua kes import.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 691 kes yang telah pulih Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 17, 825 kes atau 64.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 94 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, terdapat 7 kes kematian baharu menjadikan angka keseluruhan kes kematian meningkat kepada 236 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-230 iaitu kes ke-14,925 merupakan lelaki warganegara Malaysia  berumur 67 tahun yang mempunyai latar belakang sinutis dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sabah.

“Kes kematian ke-231  iaitu kes ke-15,854 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Manakala kes kematian ke-232 iaitu kes ke-16,508 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Sabah,” ujar beliau.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, kes kematian ke-233 iaitu kes ke-26,212 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (buta), dan meninggal dunia di Hospital Tuaran di Sabah.

Kes kematian ke-234 iaitu kes ke-25,353 merupakan lelaki bukan warganegara berumur 50 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik dan penyakit jantung meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Manakala kes kematian ke-235 iaitu kes ke-27,491 merupakan perempuan bukan warganegara berumur 90 tahun dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Kes kematian ke-236 iaitu kes ke-27,492 merupakan lelaki bukan warganegara berumur 27 tahun dan meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KKM hari ini telah mengenalpasti tiga kluster baharu iaitu Kluster Kapor di daerah Kudat di Sabah, Kluster Hampar (Rembau, Negeri Sembilan) dan Kluster Penjara Tapah di Batang Padang, Perak.-DayakDaily