Covid-19: Caruman KWSP boleh dikeluarkan dan bayaran balik PTPTN ditangguh

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mac: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada sidang media khas selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) di Putra Jaya hari ini, beliau berkata ia tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.


Menurut Muhyiddin, ia adalah satu daripada empat inisiatif utama bagi membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat ketika melalui waktu yang sukar akibat penularan wabak Covid-19 pada waktu ini.

“Pertama, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP berjumlah RM40 billion.

“Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan,” katanya.

Tambah beliau, permohonan boleh dibuat bermula 1 April, 2020 dan inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP.

Muhyiddin berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4 peratus, yang berkuatkuasa pada bulan April, akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.

“Inisiatif Kedua, kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani Covid-19.

“Peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan
Covid-19,” katanya.

Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat, ujar beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Bagi inisiatif ketiga , Muhyiddin berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis Covid-19.

“Peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka, serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.

“Peruntukan sama rata akan diberi kepada setiap negeri, tanpa mengira parti mana yang membentuk kerajaan negeri berkenaan,” ujar beliau lagi.

Manakala bagi Inisiatif Keempat, tambah Muhyiddin, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan lanjutan masa dari 3 bulan kepada 6 bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta.

Penangguhan ini katanya berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September, 2020, dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN.

Selain itu Muhyiddin turut memaklumkan akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac, 2020.

Katanya, ia akan mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini.

“Samada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya. — DayakDaily