CCRC khas diperlukan untuk wanita di Sarawak

Kelihatan Abdul Karim (dua dari kiri) ketika sidang media Pemadam di Kuching.

KUCHING, 3 Mac: Sebuah Pusat Pemulihan Dadah khas untuk menempatkan tahanan wanita perlu dibina dan diwujudkan di Sarawak.

Ini kerana negeri itu sehingga kini masih tidak mempunyai sebuah pusat pemulihan dadah yang di khaskan untuk menempatkan tahanan wanita.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini tahanan wanita yang melalui perintah mahkamah akan di hantar ke pusat pemulihan di Kelantan untuk menjalani sesi pemulihan mereka.


Keadaan tersebut, katanya, memberikan kesan kepada proses pemulihan tahanan terbabit memandangkan mereka memerlukan sokongan daripada keluarga mereka untuk pulih dari belenggu ketagihan yang dihadapi.

“Kalau orang di Sarawak dihantar ke Kelantan, ibu bapa dia hendak melawat, bagaimana mereka hendak melakukannya kerana ia amat jauh.

“Kita amat memerlukan pusat pemulihan untuk wanita di Sarawak. kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak perlu meneliti perkara ini,” katanya pada satu sidang media bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Sarawak di sini hari ini.

Abdul Karim (kiri) meyerahkan watikah perlantikan ahli Pemadam kepada Edwin Chandra Nurdjajadi (tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat Pemadam Sarawak di Kuching.

Abdul Karim yang juga Pengerusi Pemadam Sarawak berkata, ketika ini terdapat dua wanita yang ditempat di Pusat Pemulihan Cure and Care (CCRC) kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya kedua wanita terbabit terpaksa diletakkan ditempat yang sama yang kebanyakan dihuni oleh penagih lelaki walaupun diletakkan di blok berasingan.

“Penagih wanita dan lelaki yang sedang dalam proses pemulihan ini sepatutnya tidak berada di kawasan yang sama kerana kita tidak mahu apa yang berlaku di Miri sebelum ini berulang semula yang mana seorang wanita yang kena tangkap kerana disyaki terlibat dengan judi atas talian berumur 16 tahun, bawah umur, masuk dalam sel kena rogol.

“Apa cara sekalipun, perkara ini (wujudkan CCRC wanita) perlu diperhalusi sebaik mungkin agar kejadian yang berlaku di Miri sebelum ini tidak berulang lagi,” katanya. — DayakDaily