Vaksin Covid-19: Kakitangan JKM juga petugas barisan hadapan

Noriah Ahmad (kanan) menyerahkan Nota Serah Tugas kepada Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) yang baharu, Norita Bawi (kanan) disaksikan Fatimah (dua dari kanan) dan Setiausaha Tetap KWKPK, Dr Rashidah Bolhassan.

KUCHING, 3 Mac: Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi antara pertugas barisan hadapan yang perlu diberikan suntikkan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan yang bermula 26 Februari lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kakitangan JKM sentiasa terdedah kepada risiko jangkitan wabak terbabit terutamanya ketika melakukan pengahantaran bantuan ke kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Memang mereka ini (kakitangan JKM) menghadapi risiko jangkitan Covid-19 kerana perlu masuk ke kawasan yang dikenakan PKPD dan perlu mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) sama seperti kakitangan perubatan.


“Sebab itulah kita telah mengenalpasti bahawa kakitangan JKM ini antara pertugas barisan hadapan yang perlu diberikan suntikan vaksin kerana mereka juga berhadapan dengan risiko jangkitan wabak berkenaan semasa penghantaran makanan ini,” katanya pada sidang media memberi laporan semasa inisiatif kerajaan Sarawak dibawah KWKPK di sini hari ini.

Fatimah berkata, setakat 25 Februari lepas, kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM5,638,339 bagi menyediakan bantuan untuk mangsa yang terjejas akibat jangkitan Covid-19 dan dikenakan PKPD.

Katanya, bantuan terbabit merupakan bekalan makanan kering yang dihantar ke enam kawasan yang telah di kenakan PKPD sehingga kini.

“Pada tahun lalu, kita (JKM) telah menghantar dan menyalurkan kira-kira 4,196 bungkus bekalan makanan kering kepada penduduk di Kampung Haji Baki yang telah dikenakan PKPD.

“Manakala pada tahun ini pula iaitu setakat 25 Februari lepas, kita telah menghantar serta menyalurkan sejumlah 65,984 bungkus bekalan makanan kering kepada penduduk di lima kawasan yang di kenakan PKPD iaitu di Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Rumah Pangsa dan Perumahan Town Villa di Sibu, Kampung Sg Maong, Kuching, Taman Univista di Samarahan dan Kampung Emperoh Jambu di Padawan,” katanya. — DayakDaily