Buku sejarah masyarakat Bidayuh, perlombongan emas di Bau dilancarkan

Manyin (tiga dari kiri) bersama Leo (tiga dari kanan) menunjukkan buku "Pingunai Ikonomik Bisingai De Joman Omba" dan "Oran Pingoma To" semasa majlis pelancaran.

KUCHING, 30 Dis: Dua buku berkaitan sejarah masyarakat kaum Bidayuh di Bau dan satu buku berkaitan sejarah penempatan perlombongan emas di Bau telah dilancarkan di majlis makan malam dan ceramah Bau Bicentennial Celebrations 2020 di sini, malam tadi.

Dua buku terbabit berjudul dalam bahasa Bidayuh “Pingunai Ikonomik Bisingai De Joman Omba” dan “Oran Pingoma To” ditulis Leo M Noeb.

Manakala satu lagi buku berjudul “Histories Of Bau Gold Mining Settlement” berkaitan sejarah penempatan perlombongan emas di Bau dari 1820 hingga 2020 ditulis Dr Voon Jan Cham.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong telah melancarkan tiga buku terbabit dengan majlis itu juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep dan ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Henry berkata judul buku “Pingunai Ikonomik Bisingai De Joman Omba” adalah bermaksud “Bisingai Economic Activities In The Olden Days” dalam Bahasa Inggeris, manakala judul buku “Oran Pingoma To” pula adalah bermaksud “Our Ancestors’ Way” dalam Bahasa Inggeris.

Buku berjudul “Histories Of Bau Gold Mining Settlement” yang ditulis Dr Voon Jan Cham.

Sementara itu, Manyin berkata bagi berjaya di masa hadapan, masyarakat Bidayuh dan penduduk Bau mesti mengetahui sejarah masa lalu.

“Ini supaya kita tahu secara tepat siapa kita, apa kita, apa kesalahan kita, apa kekuatan kita dan dari itu kita membuat perancangan,” katanya.

Berikutan itu, beliau menasihatkan sebahagian golongan muda yang mahu menjadi ahli politik untuk mengetahui tentang sejarah yang boleh mendedahkan semua kesilapan dan kekuatan mereka dan belajar mengenainya. — DayakDaily