Bomba Sarawak sasar 10,000 ahli Pasukan Bomba Komuniti hujung tahun ini

Khirudin (belakang, sembilan dari kiri) dan Mohd Chee (belakang, sepuluh dari kiri) bergambar bersama peserta program pada majlis penutupan tersebut.

KABONG, 4 Julai: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak kini mempunyai 9,187 ahli Pasukan Bomba Komuniti di seluruh negeri.

Pengarahnya Datu Khirudin Drahman berkata pihaknga mensasarkan 10,000 ahli dan 1,000 pasukan Bomba Komuniti menjelang akhir tahun ini.

Katanya, usaha tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli secara teori dan praktikal kaedah pencegahan dan tindakan yang perlu diambil untuk menangani kebakaran.


“Justeru sehingga hari ini, Bomba Sarawak telah melatih seramai 9,187 ahli dengan 921 pasukan dan kita mensasarkan melarikan seramai 10,000 ahli dan 1,000 pasukan Bomba Komuniti menjelang akhir tahun 2022,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penutupan Program Kesedaran Keselamatan anjuran Pejabat Zon 3 Bomba Sarawak dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong.

Seramai 53 peserta telah menyertai program tersebut yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Julai.

“Peserta program diberi pendedahan untuk merasai sendiri tugas sebagai seorang anggota Bomba dan berpeluang menyarung sendiri baju api Bomba serta memadam kebakaran melalui aktiviti simulasi,” katanya.

Jelasnya, melalui aktiviti seumpama itu juga, diharapkan masyarakat akan lebih memahami tugas dan peranan bomba.

“Program ini juga memberi peluang kepada kita memberi kesedaran dan menyampaikan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran yang lebih berkesan kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu turut diadakan ialah Latihan Celik Sedia Urus Risiko Isirumah (S.U.R.I) yang disertai 20 orang peserta.

“Dengan adanya program yang dianjurkan oleh jabatan seperti in telah memberi kesan dan impak yang sangat baik kepada penduduk kampung.

“Banyak kes-kes kebakaran berjaya dipadamkan sendiri oleh penghuni rumah atau penduduk kampung sebelum ianya merebak,” kata Khirudin.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 20 unit alat pemadam api diserahkan kepada kampung-kampung yang disumbangkan oleh ADUN Kabong Mohd Chee Kadir. — DayakDaily