Bomba guna teknik ‘water bombing’ kawal kebakaran 32 hektar tanah gambut di Miri

Bomba guna teknik 'water bombing' kawal kebakaran 32 hektar tanah gambut di Miri.

MIRI, Ogos 18: Cuaca panas yang berterusan mengakibatkan berlakunya kebakaran kawasan tanah gambut di Kuala Baram berdekatan Kompleks Hamidah, Permyjaya di sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata setakat ini kawasan yang terjejas akibat kebakaran itu adalah seluas 32 hektar.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran itu telah bermula sejak pukul 9 pagi tadi dan melibatkan seramai 28 anggota bomba.


“Kita juga menggerakkan Unit Udara Bomba dengan melakukan ”water bombing” dengan menggunakan helikopter bomba bagi mengawal kemerebakan api dan membantu pasukan pemadam di darat.

“Selain pasukan bomba, seramai 16 kakitangan Naim turut membantu dalam operasi memadam kebakaran kawasan tanah gambut itu,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran kawasan tanah gambut.
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran kawasan tanah gambut.

Dalam pada itu, Law menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya pada musim kemarau ini untuk mengelak berlakun kes kebakaran lebih besar.

Jelasnya, faktor cuaca yang kering boleh mempercepatkan lagi berlakunya kebakaran sekali gus menyukarkan proses mengawal dan memadam.

“Kejadian kebakaran juga boleh mengakibatkanĀ  fenomena jerebu yang lebih teruk berlaku.

“Sehubungan itu, kita mesti mempunyai sikap toleransi dan bertanggungjawab dengan tidak secara sengaja melakukan pembakaran terbuka,” katanya lagi.Ā ā€” DayakDaily