Beri keutamaan kepada projek infrastruktur di Kg Merakai, rayu Adun Bukit Semuja

John (tiga dari kiri) bersama Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak Chang Kuet Shian (dua dari kanan) ketika melancarkan gimik perasmian Projek Utiliti Merakai.

SERIAN, 10 Dis: Keperluan kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan ke Kampung Merakai mendapat perhatian serius daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Semuja John Ilus.

Justeru, beliau merayu kepada Kementerian Utiliti Sarawak untuk memberikan keutamaan terhadap permohonan penduduk kampung itu agar ia dapat menerangi laluan penduduk di kampung tersebut.

“Selepas beberapa tahun menikmati kemudahan bekalan elektrik, kawasan kampung khusunya laluan masuk persimpangan kampung ini masih lagi gelap gelita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Utiliti Merakai, di sini hari ini


Beliau berkata, walaupun bekalan elektrik dan air sudah dinikmati penduduk di Kampung Merakai, namum salah sebuah sekolah di kawasan itu masih lagi bergantung kepada generator untuk bekalan elektrik, dan air hujan sebagai sumber air.

Oleh yang demikian, beliau memohon pihak kementerian untuk memudahkan urusan berkaitan dengan penyambungan bekalan air bersih dan terawat serta penyambungan bekalan elektrik melalui grid yang sedia ada ke sekolah terbabit.

“Kerana, kini sekolah masih menggunakan sumber air sungai dan hujan termasuk menggunakan gen set (generator) untuk bekalan elektrik,” katanya.

Selain itu, John berkata, keutamaan juga harus diberikan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk menaik taraf perkhidmatan jalur lebar di Kampung Merakai agar ia dapat di manfaatkan oleh pelajar sekolah untuk meneruskan pembelajaran secara atas talian terutama ketika pandemik Covid-19 melanda.

“Ia penting kerana kemudahan jalur lebar atau perkhidmatan telefon sudah menjadi satu kemudahan asas dalam dunia kini khususnya ketika Covid-19.

“Pada masa sama, murid-murid akan dapat mengikuti pelajaran secara atas talian dan ini secara tidak langsung dapat memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

“Ketika ini, murid-murid ini terpaksa pergi ke kawasan bandar atau kebun berdekatan untuk mendapatkan capaian jalur lebar bagi membolehkan mereka mengikuti pelajaran atas talian seperti rakan mereka lain,” katanya.

Dalam pada itu, tambah John, pihaknya turut memohon untuk menaik taraf jalan pertanian di Kampung Merakai untuk dimasukkan dalam salah satu projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 bagi kawasan Bukit Semuja.

“Jadi, sama-sama kita berdoa agar ia diluluskan dan sudah pasti perkara ini bergantung kepada kerjasama bantuan penduduk dalam mengekalkan ‘kerusi’ kita,” katanya lagi.

Untuk rekod, beliau turut mendedahkan bahawa Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) telah memperuntukkan RM100,000 untuk projek naik taraf gereja di kampung tersebut. — DayakDaily