Belacan tempatan menjadi punca pendapatan tambahan untuk penduduk Kg Tambirat

Fatimah menunjukkan belacan Tambirat yang dijual di gerainya.

SAMARAHAN, 14 Dis: Belacan Tambirat kini menjadi tambahan kepada pelbagai produk tangkapan nelayan yang banyak dijual penduduk Kampung Tambirat, Asajaya di sini.

Tinjauan di gerai tepi jalan mereka mendapati belacan terbabit yang dalam kepingan segi empat yang tebal dalam bungkusan plastik lutsinar dijual pada harga RM16 sebungkus dan juga RM10 bagi bungkusan lebih kecil.

“Belacan ini dibuat nelayan kampung ini dari anak udang atau bubuk yang ditangkap mereka di kawasan perairan dan kemudian diproses mengunakan mesin sebelum dijual secara borang kepada kami di gerai ini,” menurut Fatimah Buang, 49, yang antara gerai menjual belacan tersebut ketika ditemui semalam.

Jelas Fatimah, harga belacan Tambirat ketika ini ialah RM32 sekilogram dan berikutan itu belacan terbabit berharga RM16 yang sudah siap dibungkus dan dijual di gerainya adalah seberat 500gram.

Beliau tidak pasti perbezaan belacan Tambirat dengan produk belacan dari kawasan lain negeri ini dan berkata terpulang kepada orang ramai bagi mencari sendiri perbezaan itu sekiranya mereka membeli dan memakan belacan terbabit.

“Penjualan belacan Tambirat ini menambahkan lagi pendapatan gerai saya yang juga ada menjual pelbagai jenis ikan kering dan juga kuih-muih,” katanya.

Fatimah berkata beliau sudah berniaga di gerainya sejak 2012 bagi menyara keluarganya dan gerai itu mampu memberikan purata pendapatan sebanyak RM400 sebulan. — DayakDaily