Bekas Mr Asia 1969 Solomon Esmanto meninggal dunia akibat barah usus

Foto Solomon yang diambil ketika menerima lawatan dari pada delegasi SBBA pertengahan tahun lepas.

KUCHING, Ogos 5: Bekas juara bina badan Asia, Solomon Esmanto menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini.

Solomon atau nama sebenar beliau Suratinan Tamin dilahirkan pada 1 Jun, 1943 di Kampung Jawa No 2 di Kuching.

Beliau disahkan menghidap barah usus pada 2014 dan semenjak itu beliau menjalani sesi kemoterapi setiap dua minggu sehingga minggu lepas.


Menurut anak bongsunya, Serikartika Suratinan, bapanya dibawa ke hospital pada petang Jumaat lepas apabila beliau muntah beberapa kali sebelum itu.

Pada mulanya kata Serikartika, keadaan dia stabil tetapi selepas itu beliau mengalami demam.

“Kami sekeluarga redha dengan pemergian arwah dan ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi menziarahi kami,” kata Serikartika ketika ditemui di RPR Fasa 2, Jalan Astana di sini hari ini.

Jenazah Solomon telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang sekitar pukul 11 pagi tadi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA) Datuk Wee Hong Seng melahirkan rasa sedih beliau di atas pemergian lagenda bina badan Sarawak itu.

Katanya, arwah merupakan antara pelopor sukan bina badan ini di Sarawak.

“Biarpun begitu, saya bersyukur kerana sempat bersama beliau ketika beliau menjalani pembedahan mata awal tahun ini.

“Salam takziah dari kami di SBBA buat keluarga arwah,” katanya.

Solomon mula berjinak-jinak dalam bina badan semenjak pengajian beliau di St Thomas sekitar 1960-an.

Pertandingan pertama beliau adalah Mr Hercules Kuching 1963, di mana dia dinobat sebagai juara keseluruhan.

Di pentas ini juga beliau mula-mula dikenali sebagai Solomon Esmanto.

Beliau mula bertugas di Jabatan Penjara Kuching pada September 1, 1964 hingga Ogos 1, 1998 dan bersara sebagai sub-inspektor.

Foto arkib menunjukkan Soloman berbual bersama anak didik beliau Mohd Iskandar Razali di kediamannya di Petra Jaya.

Hasil perkongsian hidup dengan Fatimah Jalil, Solomon dikurniakan seramai tujuh orang cahaya mata — lima lelaki dan dua perempuan — namun anak lelaki yang sulung meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Solomon kekal aktif bertanding sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di jabatan, merangkul pelbagai kejuaraan termasuk Mr Malaysia pada 1971 dan 1973, serta Mr ASEAN 1979 Jakarta, Indonesia.

Namun pencapaian beliau yang tertinggi ialah dinobat juara keseluruhan Mr Asia 1969 di Colombo, Sri Lanka; sekali gus memahatkan nama beliau sebagai atlet bina badan Sarawak pertama yang meraihnya.

Beliau merupakan penerima pertama Anugerah Olahragawan Sarawak daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) pada 1971.

Di samping itu, beliau juga menerima beberapa pingat negeri dan persekutuan iaitu Ahli Bintang Negeri Sarawak (ABS) pada 1972, Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada 1973, Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) pada 1987 dan Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2000.

Solomon merupakan antara tiga atlet pelopor bina badan Sarawak yang pernah menjulang kejayaan di peringkat Asia. — DayakDaily