Lelaki maut, anak serta cucu selamat dalam kemalangan

Kelihatan kemalangan membabitkan sebuah lori dan motosikal di Jalan Kampung Ruan, Simunjan.

SIMUNJAN, Ogos 5: Seorang lelaki maut, manakala anak serta cucunya selamat selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Ruan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Ruka Gena, 50, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Munggu Lalang di sini.

Anak perempuan mangsa yang berusia 13 tahun serta cucu perempuan berumur lapan tahun pula hanya cedera ringan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, tiga beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumah mereka di Kampung Ruan di sini.

Bagaimanapun katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa dikatakan hendak masuk ke simpang di jalan di situ.

“Namun, malang menimpa mereka sebuah lori gagal mengelak lalu melanggar motosikal yang dinaiki tiga beranak terbabit.

“Mangsa yang tercampak di atas jalan mengalami kecederaan pada anggota badannya, manakala anak serta cucu dia hanya cedera ringan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Sageng di sini pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily