Bekalan air untuk loji Slabi selamat — Dr Rundi

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom

KUCHING, Julai 30: Ujian makmal mendapati bahawa air dari Sungai Sadong yang dijadikan sumber air mentah untuk Serian adalah selamat digunakan sebagai punca air untuk loji air Slabi.

Menurut Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berdasarkan sampel ujian yang diperolehi daripada makmal swasta, keputusan menunjukkan bahawa air mentah dan air terawat daripada Loji Perawatan Air Slabi tidak melanggar standard dan mengikut spesifikasi ‘National Standard for Drinking Water Quality’ seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Oleh itu, pihak Kementerian Utiliti Sarawak melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak berpuas hati dengan ujian yang telah dijalankan oleh makmal berkenaan yang mana tiada pencemaran yang dikesan berdasarkan keputusan sampel yang diambil dan diuji pada Jun 25, 2018 yang lepas.


“Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa air sungai tersebut adalah selamat digunakan sebagai punca air untuk loji Slabi,” jelas Dr Rundi dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa, tiada unsur-unsur agro-chemical seperti racun perosak dan ammonia dikesan terkandung dalam sampel air mentah dan air terawat berkenaan.

Dr Rundi merujuk kepada laporan media di portal DayakDaily yang bertajuk “Sg Sadong yang dijadikan sumber air mentah untuk Serian tercemar racun, kata DAP” bertarikh Jun 20, 2018.

“Keputusan ujian makmal bagi kategori racun rumput dan racun perosak adalah kurang daripada piawaian yang ditetapkan dalam Piawaian Kebangsaan untuk Kualiti Air Minuman (2004). Sebatian racun rumput yang diperiksa dalam air mentah kurang daripada piawaian yang ditetapkan (0.03 mg/l).

“Sementara itu, di bawah racun perosak, hasil keputusan analisis makmal juga adalah kurang daripada piawaian yang ditetapkan (Aldrin – 0.00003mg/l, Dieldrin – 0.00003mg/l, DDT – 0.00001mg/l, Heptachlor – 0.00003mg/l, Heptachlor Epoxide – 0.00003mg/l, Methoxychlor – 0.001mg/Chlordane – 0.00002mg/l, Lindane – 0.00001mg/l),” jelas beliau.

Sementara itu, Dr Rundi mengarahkan pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak agar sentiasa melakukan pemantauan pada air mentah dan air terawat di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa bersama dengan agensi-agensi yang bertanggungjawab bagi memastikan kualiti dan keselamatan air untuk penduduk di kawasan Serian adalah selamat.

Beliau juga memberi jaminan kepada penduduk setempat bahawa keselamatan bekalan air mereka akan senantiasa diutamakan. — DayakDaily