Pemuda ditemui mati lemas di kolam terbiar

Inilah kolam terbiar tempat di mana mangsa ditemui mati lemas.

KOTA SAMARAHAN, Julai 30: Keseronokan seorang pemuda memancing ikan di sebuah kolam terbiar di Kampung Semera di sini berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui mati lemas di kolam berkenaan lewat petang tadi.

Mangsa, Hadiman Musli, 26, telah ditemui oleh penduduk kampung kira-kira pukul 7.15 petang itu.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.52 petang.


Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati mayat mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Klinik Asajaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, berdasarkan keterangan saksi, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang memancing ikan dari tepi kolam berkenaan.

Namun kata saksi, mangsa kemudian dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam berkenaan.

“Operasi tamat sepenuhnya apabila mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya lagi. — DayakDaily