Oleh Chris Bishop
KUCHING, 17 Oktober: Winnie Song Ryan, bayi perempuan berusia sebulan yang mengalami masalah jantung dengan satu injap, telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 2.30 petang, hari ini.
Ibunya, Rosa Injan Taja berkata Winnie menjalani pembedahan di IJN bermula jam 8 pagi hingga 5 petang semalam.
“Selesai pembedahan semalam, bayi saya berada di dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat sokongan untuk mengepam darah.
“Bayi juga mengalami pendarahan yang serius dan pada jam 11 pagi ini darah tersebut telah memasuki otak bayi dan memerlukan satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan darah.
“Keadaan bayi yang kritikal dan lemah menyebabkan pembedahan kedua tidak dapat dijalankan,” katanya kepada DayakDaily.
Menurut Rosa, urusan membawa mayat bayinya balik ke Miri sedang diuruskan.
Winnie, anak tunggal kepada Rosa dan pasangannya Ryan Ujang, mulai dikesan doktor pakar mengalami masalah jantung pada hari kedua selepas kelahirannya.
Sebak dengan pemergian bayinya, Rosa mengucapkan terima kasih ke atas sumbangan dan kata semangat dari semua. — DayakDaily