Bayi masalah jantung satu injap ke IJN, Kuala Lumpur untuk rawatan esok

Bayi dengan masalah jantung satu injap, Winnie Song Ryan akan pergi ke IJN, Kuala Lumpur esok (Okt 14, 2019).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 12: Bayi perempuan berusia sebulan, Winnie Song Ryan yang menghadapi masalah jantung dengan satu injap akan berlepas ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, esok.

Menurut ibu bayi, Rosa Injan Taja, Winnie akan mendapatkan rawatan di IJN dan pembedahan akan dilakukan dengan segera.


“Sebaik tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan dari Miri, saya akan terus membawa bayi saya mendaftar di IJN esok.

“Bayi saya akan terus dirawat di IJN dan pembedahan akan dilakukan segera, bergantung kepada nasihat doktor pakar IJN,” katanya kepada DayakDaily hari ini.

Winnie yang dilahirkan pada Sept 9 lepas di Miri disahkan mengalami masalah jantung dengan satu injap dan memerlukan RM100,000 untuk menanggung kos pembedahan.

Doktor pakar di Miri memberitahu yang bayinya hanya mempunyai jangka hayat selama enam bulan jika pembedahan tidak dilakukan dalam kadar segera.

Rosa serta suami Ryan Ujang juga dimaklumkan bayinya perlu dibawa ke IJN KUala Lumpur untuk pemeriksaan dan pembedahan segera.

Bagaimanapun, kos bagi membiayai pembedahan berkenaan tidak mampu ditanggung Rosa sekeluarga dan merayu kepada pihak NGO dan orang awam untuk memberi sumbangan.

“Sejak seminggu lepas kita telah menerima sumbangan dan kata-kata semangat dari orang awam dan NGO dari seluruh negeri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas semua sumbangan dan mendoakan bayi saya selamat menjalani pembedahan nanti,” kata Rosa.

Tambah Rosa lagi, bayi beliau harus dibedah sebelum usia mencecah 4 bulan dan semakin ia membesar semakin sukar pernafasan.

Antara NGO yang awal menghulurkan bantuan ialah Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS), Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Terabai Menua. — DayakDaily