Bayi masalah jantung satu injap perlu RM100,000 untuk pembedahan

Bayi dengan masalah jantung satu injap, Winnie, perlukan pembedahan segera.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Oktober: Seorang bayi perempuan yang dilahirkan di Miri pada 9 September lepas memerlukan sumbangan RM100,000, setelah disahkan mengalami masalah jantung dengan satu injap.

Jumlah itu bagi menampung kos pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.


Winnie Song Ryan, anak tunggal kepada pasangan Rosa Injan Taja dan Ryan Ujang, mulai dikesan doktor pakar mengalami masalah jantung pada hari kedua selepas kelahirannya.

Menurut Rosa, beliau dan suami sudah dimaklumkan oleh doktor pakar di Miri yang bayinya hanya mempunyai jangka hayat selama enam bulan jika pembedahan tidak dilakukan dalam kadar segera.

Bagaimanapun katanya, kos bagi membiayai pembedahan berkenaan menelan belanja sebanyak RM100,000 dan tidak mampu ditanggung oleh mereka.

“Sehubungan itu, saya tidak mempunyai pilihan lain, tetapi merayu kepada pihak NGO dan orang awam untuk membantu saya dan suami menampung kos pembedahan tersebut,” ujar beliau.

Rosa bersama suami, Ryan, yang menunjukkan surat pengesahan doktor pakar bersama wakil-wakil NGO.

Pada pertemuan dengan doktor pakar pada 7 Oktober lepas, dimaklumkan bayi beliau perlu dibawa ke IJN untuk pemeriksaan dan pembedahan segera.

Kedua-dua ibu dan bayi akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini.

Sementara itu, ketua-ketua NGO kaum Dayak di Miri turut merayu orang ramai agar menghulurkan derma bagi membantu menampung kos pembedahan bayi berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi persatuan masing-masing bagi ahli atau terus kepada keluarga bayi tersebut.

Untuk maklumat lanjut boleh berhubung atau ‘WhatsApp’ terus kepada Rosa di talian 019-8545119.

Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun beliau – Maybank 1611 2750 9461 atas nama Rosa Injan Anak Taja.

Antara wakil wakil NGO yang memberikan sokongan moral kepada Rosa dan suaminya semalam ialah Vicky Gulin Shandom dari Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS), Elias Lipi Mat dari Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Ugik Jalit (Terabai Menua) dan ahli-ahli jawatankuasa kebajikan Terabai Menua. — DayakDaily