Batalion 11 PGA rampas rokok haram bernilai RM200,640

Anggota polis menunjukkan rokok yang dirampas.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Julai 31: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1,216 katon rokok pelbagai jenis dalam sebuah operasi di Kampung Triboh, di sini, semalam.

Ops Libas tersebut menemui rokok seludup bernilai anggaran RM200,640 yang disimpan di dalam sebuah stor.


Pegawai pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Supt Rosdi Inai, berkata operasi itu dijalankan oleh sembilan pegawai dan anggota dari Unit Risik Batalion 11 PGA yang diketuai oleh ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff dengan kerjasama tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, atas risikan dan maklumat yang diperolehi, sebanyak 1,216 katon rokok pelbagai jenis yang disembunyikan di dalam stor tersebut berjaya ditemui.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang dipercayai pemilik stor tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung penemuan barang tersebut.

“Lelaki yang berusia 56 tahun itu kemudian ditahan kerana cubaan memberi suapan kepada penjawat awam sebanyak RM58,700 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan di atas kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rosdi menambah, hasil maklumat yang diperolehi barangan tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan.

Katanya, kes diserah kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, yang membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi kes cubaan memberi suapan kepada penjawat awam, kes diserah kepada SPRM untuk disiasat mengikut Akta SPRM yang boleh membawa hukuman denda minimum lima kali nilai suapan atau denda RM10,000, atau penjara sehingga tempoh 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily