Barangan bernilai RM1.2 juta dirampas di sempadan negeri dalam 9 bulan lepas

Zambrose (tengah) menyaksikan Toh (kiri) menyerahkan dokumen tugasnya sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri kepada Md Din selepas Perbarisan Penghargaan Dan Serah Terima Tugas Panglima 1 Divisyen di Padang Kawad Kem Muara Tuang.

KOTA SAMARAHAN, Mac 19: Keseluruhannya seramai 177 orang pendatang asing tanpa izin ditahan dan barangan bernilai RM1.2 juta berjaya dirampas pasukan tentera darat dari 1 Divisyen Infantri di kawasan sempadan negeri ini dalam Ops Awas Keris/Parang sepanjang tempoh sembilan bulan yang lepas.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenen Jeneral Datuk Wira Zambrose Mohd Zain berkata kejayaan tersebut dicapai pasukan 1 Divisyen Infantri dibawah pemerintahan mantan Panglimanya, Mejar Jeneral Dato Toh Choon Siang.

“Pelbagai pencapaian dan kejayaan yang membanggakan dicapai 1 Divisyen (Infantri) dibawah pemerintahan beliau, antaranya adalah tangkapan dan rampasan Op Awas Keris/Parang sebanyak 97 kes, (membabitkan) seramai 177 pendatang tanpa izin (yang ditahan) dan nilai rampasan (barangan) sebanyak RM1.2 juta,” katanya ketika menghadiri Perbarisan Penghargaan Dan Serah Terima Tugas Panglima 1 Divisyen di Padang Kawad Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.


Selepas perbarisan tersebut, Toh telah menandatangani dokumen menyerahkan tugasnya sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri kepada Mejar Jeneral Dato Md Din Abu.

Zambrose berkata kejayaan lain pasukan tentera itu dalam tempoh sembilan bulan lepas dibawah Toh ialah pengiktirafan lima bintang bagi audit pengurusan kewangannya, johan pengurusan logistik, johan kategori pasukan tempur, johan kategori Qariah saudara Muslim dan naib johan kategori Qariah Muslim.

Berikutan itu, beliau yakin pasukan 1 Divisyen Infantri akan dapat terus maju dan cemerlang di masa akan datang dibawah Md Din yang diberikan kepercayaan tentera darat bagi dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri yang baharu.

“Suka saya ingatkan, kita berada dalam satu kapal, mana-mana anggota dan pegawai yang tidak mahu mengikut halatuju nakhoda perlu diberi haluan semula, tetapi sekiranya mereka masih engkar, mereka ini perlu dikeluarkan sebelum kapal tersebut karam di lautan,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat, beliau mahu semua panglima formasi brigade tentera darat di negeri ini supaya taat setia dan memberi sokongan padu mereka kepada Panglima 1 Divisyen Infantri yang baharu. — DayakDaily