Kerani wanita rugi RM2,590 terpedaya kes tipu pinjaman tidak wujud

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Mac 19: Seorang kerani wanita kerugian RM2,590 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud.

Mangsa berusia 21 tahun itu dilaporkan ditipu selepas menerima mesej daripada seorang lelaki kononnya dari sebuah syarikat pinjaman wang.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa kemudian berminat dengan tawaran tersebut dan bersetuju buat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa supaya membuat pembayaran pendahuluan proses pinjaman sebanyak RM450 dan RM2,140 bagi pembayaran ansuran proses pinjaman.

“Pada Mac 16 lepas, mangsa telah membuat transaksi tunai ke akaun bank suspek sebanyak RM2,590.

“Mangsa akhirnya sedar bahawa dirinya ditipu selepas suspek memberi banyak alasan dan tidak dapat dihubungi oleh mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily