Baraj Kuching dipastikan berfungsi dengan baik

Lee (dua dari kanan) berbincang bersama pegawai LSS semasa lawatan ke Baraj Kuching.

KUCHING, 10 Jan: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin hari ini melakukan lawatan kerja ke Baraj Kuching bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Katanya, ia sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di Kuching dan sembilan lagi kawasan di Sarawak bermula 11 hingga 13 Januari ini.

“Yang penting ialah kita hendak memastikan semua sistem (Baraj Kuching) berfungsi dengan baik.


“Ini membantu di dalam kita memantau keadaan banjir dan pada masa yang sama memberi amaran kepada penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir melalui stesen telemeteri,” katanya ketika ditemui.

Turut serta pada lawatan itu ialah Menteri Muda Pengangkutan I Datuk Dr Jerip Susil dan Menteri Muda Pengangkutan II Dato Henry Jinep.

Tambah Lee, kini terdapat 20 stesen telemetri di sekitar Kuching yang dihubungkan ke Bilik Operasi Baraj Kuching.

Katanya, maklumat mengenai hujan dan paras air yang dihasilkan daripada stesen telemetri ini digunakan untuk Operator Baraj Kuching membuat keputusan dalam mengawal selia pelepasan lebihan air dari kawasan tadahan Sungai Sarawak ke laut.

Lembaga Sungai Sarawak (LSS) katanya juga telah menghantar pasukan mereka ke kampung dimana stesen telemetri terletak untuk menunjukkan dan menjelaskan kepada penduduk setempat mengenai keperluan berpindah ke tempat lebih tinggi sebaik sahaja siren dari stesen diaktifkan kerana paras air meningkat di kawasan tersebut. — DayakDaily