Bantuan COVID-19 untuk kebajikan rakyat Sarawak cecah RM1.8 juta – Fadillah

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof menyerahkan bantuan kepada ibu tunggal anak Sarawak yang menetap di Johor Bahru pada Program Abas Orang Kamek (AOK) di Hotel Thistle, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU, 3 OKT: Seramai 3,049 pelajar dan rakyat Sarawak yang berada di luar negeri itu mendapat bantuan segera kepada akses makanan dan penginapan sejak penularan pandemik Covid-19 sehingga kini.

Menteri kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukkan Bantuan Covid-19 dengan nilai terkumpul mencecah sehingga RM1.8 juta dibelanjakan kerajaan Sarawak bagi menjaga menjaga kebajikan rakyatnya di seluruh negara.

“Bantuan berkenaan disalurkan sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 melalui Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL) atau Rumah Sarawak, dengan kerjasama Sarawak Volunteers,” katanya menerusi sati kenyataan hari ini.


Fadillah yang juga penaung Sarawak Volunteers berkata, langkah segera dalam menyelesaikan masalah mendesak turut di ambil Sarawak termasuk membantu pelajar-pelajar dari negeri itu yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, sepanjang tempoh seramai 955 orang awam dan 9,668 pelajar telah dibawa pulang ke Sarawak menggunakan penerbangan yang dicatar khas bagi tujuan berkenaan.

“Sarawak Volunteers dan Rumah Sarawak juga telah memudahcara urusan penghantaran guru-guru untuk balik ke tempat bertugas masing-masing dengan kerjasama MAB dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Ini bagi memastikan agar proses pembukaan sekolah secara berperingkat dapat berjalan lancar untuk kebaikan anak-anak murid Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Program Abas Orang Kamek (AOK) di Hotel Thistle di sini dihadiri 180 anak Sarawak.

Menurut Fadilah, prihatin dengan isu dibangkit golongan siswadan siswi dalam program Lan Berambeh Anak Sarawak2018 di Kuala Lumpur memberi ilham kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melaksanakan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS).

Program tersebut yang mula dilaksanakan pada 2019 untuk membantu siswa siswi terbabit untuk kembali ke Sarawak dengan subsidi penerbangan RM300 sehala dan boleh dipohon dua kali setahun.

“Sehingga 30 Jun 2020, seramai 27,893 pemohon telah berjaya menerima manfaat subsidi berjumlah RM8,367,900 daripada Kerajaan Sarawak melalui inisiatif ini. Ini sekali gus membolehkan siswa dan siswi kita untuk pulang ke Sarawak ketika cuti semester atau cuti musim perayaan untuk bertemu dan bersama keluarga mereka pada hari tersebut.”

Katanya, Sarawak Volunteers dipertanggungjawabkan untuk memproses permohonan yang dibuat melalui aplikasi Yayasan Sarawak Student App atau laman sesawang Yayasan Sarawak dan seterusnya menyelaras pembayaran terus ke akaun pemohon yang berjaya.

Sementara itu, Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers juga telah menguruskan 183 bantuan mingguan dan menguruskan 49 penghantaran jenazah rakyat Sarawak yang meninggal dunia pada tahun lalu.

Manakala 67 kes bantuan mingguan dan penghantaran 33 jenazah telah diuruskan oleh Rumah Sarawak bersama Sarawak Volunteers sejak awal tahun ini. — DayakDaily