Dua kapal berlanggar di Perairan Tanjung Keling, Melaka

Jabatan Laut Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dua kapal, MV Oceanline 5001 dan MT Strovocos dilaporkan berlanggar kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Keling Melaka.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia (JLM), perlanggaran antara kapal tangki, MT Stovocos dan kapal pengangkut pasir, MV Oceanline 5001 itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kematian kepada krew kedua kapal berkenaan serta memberi ancaman pencemaran alam sekitar.

“MV Oceanline 5001 semasa dalam pelayaran dari kawasan tambakan Kota Laksamana menuju ke lokasi pengambilan pasir luar Had Pelabuhan Melaka telah melanggar bahagian tengah sebelah kiri MT Strovocos yang pada ketika itu sedang berlabuh sauh dalam had pelabuhan Melaka,” kata kenyataan itu.


Perlanggaran tersebut menyebabkan kedua kapal itu mengalami kerosakkan namun ia dilaporkan tidak mendedahkan kedua kapal terbabit kepada risiko tenggelam.

Susulan itu, JLM menubuhkan satu pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca pelanggaran terbabit dan akan sentiasa memantau situasi tersebut bagi mengekalkan keselamatan pelayaran kapal lain serta memastikan alam sekitar marin tidak tercemar.

Dalam pada itu, JLM turut menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat berhubung insiden tersebut selain menyalurkan terus sebarang maklumat rasmi kepada jabatan terbabit.

“Orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan hendaklah mengelak dan tidak terus percaya kepada maklumat daripada sumber lain dan boleh menghubungi Unit Korporat JLM untuk sebarang maklumat berkaitan,” kata kenyataan itu. — DayakDaily