Balai Bomba kategori E dibina di Lubok Antu

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

KUCHING, 11 OGOS: Kerajaan merancang untuk membina balai bomba kategori E di Lubok Antu pada tahun 2021.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, ia perlu setelah menyedari kawasan jagaan Balai Bomba dan Penyelamat kawasan Betong l sangat luas dan menyukarkan pencapaian tempoh masa bertindak awal 10 minit.

“Selain itu, kawasan Betong kini mendapat khidmat kebombaan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) pekan Betong dengan jumlah keahlian seramai 61 orang.


“Pasukan ini dilengkapi dengan suit baju api, sebuah jentera, proton Arena, pengangkut hos dan lain-lain keperluan yang diperlukan di peringkat bomba sukarela,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab soalan MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat berhubung rancangan kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan bomba di Betong.

Menurut beliau lagi, Balai Bomba dan Penyelamat Betong merupakan sebuah Balai Bomba kategori C dengan kekuatan anggota seramai 24 orang.

Pada masa kini katanya, Balai Bomba Betong dilengkapi dengan dua jenis jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera water tanker, dua bot aluminium dan dua kenderaan utiliti pacuan empat roda.

“Secara keseluruhannya, Kementerian ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kebombaan dengan menambah dan menaik taraf jentera serta peralatan kebombaan di seluruh negara.

“Kementerian melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat masa kini sedang dalam proses memperoleh perolehan pacuan empat roda dan fire bot buat kegunaan seluruh negara termasuk di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Negeri Sarawak,” ujar Ismail.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa balai bomba kategori E akan dibina di daerah Pusa yang mana akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 mengikut keutamaan.—DayakDaily