S4S menganjurkan perarakan dan perhimpunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak

Dinis (duduk, tiga kiri) bersama ahli-ahli Jawatankuasa Hari Kemerdekaan Sarawak 722 2018 pada sidang media di sini.

KUCHING, Jun 11: Bersempena Hari Kemerdekaan Sarawak pada Julai 22 nanti, pasukan Sarawak for Sarawakians (S4S) bahagian selatan akan meraikan sambutan ini dengan mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka, di sini.

Sehubungan itu, presiden Jawatankuasa Hari Kemerdekaan Sarawak 722 2018, Dinis Repong berkata pihaknya akan memulakan acara dengan mengadakan perarakan dari Dewan Suarah sehingga ke Padang Merdeka, pada jam 9 pagi.

“Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 500 orang rakyat Sarawak untuk menghadiri dan menyertai perarakan sempena Hari Kemerdekaan Sarawak 722 2018 ini.


“Semua orang adalah dialu-alukan tetapi pakaian, lambang dan bendera parti politik adalah dilarang,” katanya pada sidang media di sini.

Dinis berkata perhimpunan tersebut adalah untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan Sarawak mengenai hasrat dan keinginan rakyat Sarawak untuk pembentangan usul ‘Mengembalikan Status Sarawak’.

“Bagi rakyat Sarawak, pembentangan usul mengembalikan status Sarawak sama seperti pengesahan identiti sebenar mereka, identiti yang sah dalam masyarakat antarabangsa dan dihormati di setiap penjuru dunia,” katanya.

Dinis menambah pihaknya juga akan membawa isu Tanah Adat Bumiputera (NCR), penggubalan perlembagaan Akta Referendum dan Hak Autonomi 100 peratus.

Menurut Dinis, pihaknya juga sudah mengemukakan permohonan permit untuk penganjuran perhimpunan tersebut kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) termasuk polis. — DayakDaily