ATM gagalkan cubaan 11 Pati cuba masuki Sarawak pada lewat malam, awal pagi

Kelihatan pati yang ditahan dalam Ops Bentang.

KUCHING, 8 Nov: Cubaan 11 pendatang haram tanpa izin (Pati) yang cuba memasuki Sarawak secara haram pada lewat malam dan awal pagi gagal selepas tindakan mereka itu dikesan oleh Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanakan rondaan Ops Benteng di dua sektor berasingan dekat sempadan Malaysia-Indonesia.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri ATM dalam satu kenyataan mendedahkan penahanan pertama melibatkan empat Pati pada jam 10.10 malam (7 Nov) lalu manakala tujuh lagi Pati ditahan sekitar jam jam 2.30 pagi tadi.

“Empat Pati tersebut telah ditahan oleh sepasukan anggota yang diketuai Sarjan Muhammad Harrie Rosli dari Batalion Sebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) ketika sedang berjalan dalam usaha masuk ke Sarawak dan setelah ditahan dan diperiksa, Pati tersebut berasal dari Entikong dan ingin ke Kuching untuk berkerja.


“Manakala tujuh lagi Pati terbabit ditahan oleh sepasukan anggota sedang melaksanakan rondaan keselamatan di laluan-laluan lorong tikus yang diketuai oleh Koperal Ahmad Faezudin Hani Maula Abu Hanifah di Sektor Kandaie.

“Kesemua Pati ini berada dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan melalui satu lorong sawit dan menduduki pondok kecil berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Kelihatan pati yang ditahan dalam Ops Bentang.

Kesemua Pati tersebut telah diusir pulang ke negara asal mereka selaras dengan arahan daripada Menteri Kanan Pertahanan yang mahu mengekang penularan wabak Covid-19 di pusat-pusat tahanan sementara jika tindakan menahan Pati terbabit dilakukan.

Tambah kenyataan itu, seiring dengan fokus utama pelaksanaan Ops Benteng, pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) terutama pasukan di Sarawak sentiasa komited, fokus dan mempunyai tahap kesiagaan pada setiap masa.

“Pasukan Tentera Darat di bawah Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat sentiasa komited dalam mengawal kedaulatan sempadan negara tanpa sebarang kompromi dan mengira batasan waktu,” tambah kenyataan itu. — DayakDaily