Anggota APMM Sarawak menyamar untuk menangkap bot nelayan asing

Robert Teh Geok Chuan

KUCHING, Julai 9: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak kini sudah mula menyamar sebagai nelayan tempatan bagi menangkap bot nelayan asing terutama dari Vietnam yang kerap menceroboh perairan Sarawak sekitar zon Kuching.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Robert Teh Geok Chuan berkata kaedah penguatkuasaan secara menyamar tersebut telah mula dilakukan anggota agensi itu sejak Mac lepas dengan kerjasama nelayan perairan zon Kuching.

“Nelayan di sini (zon Kuching) amat menyokong usaha ini dengan membenarkan bot mereka digunakan untuk menghantar orang kita (yang menyamar sebagai nelayan tempatan) menangkap nelayan asing dari Vietnam ini,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai kejayaan agensi itu menahan empat bot nelayan asing dengan seramai 58 kru di Tanjung Sirik Julai 7 lepas dipercayai dari Vietnam. Sidang media itu telah diadakan di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas, di sini, hari ini.


Teh berkata anggota menyamar terbabit kemudian akan mengunakan bot nelayan tempatan bagi menaiki bot nelayan asing itu yang ditemui menangkap ikan dalam kawasan perairan negeri ini bagi menahan krunya serta membawa bot terlibat ke pelabuhan agensi itu bagi tindakan lanjut manakala bot nelayan tempatan meneruskan penangkapan ikan mereka seperti biasa.

Katanya setakat ini sebanyak empat bot nelayan asing Vietnam telah berjaya ditahan agensi itu mengunakan kaedah penguatkuasaan itu di perairan zon Kuching.

“Sekarang nelayan asing dari Vietnam juga sudah mula takut dengan (bot) nelayan dari zon Kuching ini, kerana mereka tidak tahu yang mana satu (bot) nelayan ini ada penguatkuasa kami (yang sedang menyamar),” katanya.

Berikutan keberkesanan kaedah penguatkuasaan itu, beliau telah mengarahkan cawangan agensi itu di Tanjung Manis, Bintulu dan Miri untuk mula melaksanakan kaedah penguatkuasaan itu bagi perairan zon Sibu, Bintulu dan Miri yang juga kerap dicerobohi nelayan asing dari Vietnam.

“Saya sudah mengarahkan pengarah (cawangan APMM) zon Miri, Bintulu dan Tanjung Manis di Sibu untuk menjalin kerjasama ini dengan nelayan disana, kerana kita kekurangan aset (bagi meronda seluruh perairan negeri ini),” katanya.

Beliau berkata bot nelayan asing yang ditahan kerana menangkap ikan di perairan negeri ini pasti akan dikenakan hukuman setelah bawa ke mahkamah samada dikenakan kompaun dan bot disita serta menyangkal bot terbabit akan dilepaskan begitu sahaja. — DayakDaily