Anak Penan SK Lusong Laku bercita-cita menjadi doktor dan guru

Chukpai (tiga dari kiri) membacakan sebuah cerita kepada murid-murid SK Lusong Laku di majlis ringkas penyerahan buku.

Oleh Chris Bishop

BELAGA, 10 Julai: Walaupun terpisah daripada arus kemajuan di bandar, anak-anak Kaum Penan di Sekolah Kerajaan (SK) Lusong Laku di Belaga menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor dan guru.

Serba kekurangan dan tidak mengenal telefon bimbit yang menyediakan 1,001 maklumat, murid tahun 6 Chelsea Kubang berkata beliau ingin menyembuhkan mereka yang sakit.


“Cita-cita saya ialah menjadi seorang doktor, saya ingin mengubat orang sakit.

“Di sekolah, kami ada guru-guru yang baik dan saya ingin belajar untuk mencapai impian menjadi doktor,” katanya ketika ditemui DayakDaily di SK Lusong Laku pada semalam.

Pasukan D Drift DayakDaily menyempurnakan misi menghantar lebih 1,000 buah buku ke SK Lusong Laku yang terletak lebih 200 kilometer dari bandar Bintulu dengan tempoh perjalanan sekurang-kurangnya 7 jam termasuk jalan berbatu.

Majlis ringkas penyerahan buku-buku tersebut telah disempurnakan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Chelsea adalah salah seorang murid yang pertama tampil menjawab apabila ditanya apakah cita-cita masing-masing.

Beliau dengan yakin mengangkatkan tangan, namun Chelsea berkata beliau agak lemah di dalam mata pelajaran Bahasa English.

Kedatangan Pasukan DayakDaily yang membawa buku-buku cerita dalam bahasa English menguatkan lagi semangat Chelsea untuk mencapai impian beliau.

“Di sini ada bilik sumber dan kami boleh menggunakannya untuk membaca buku. Suda tentu saya akan cuba untuk membaca buku cerita Bahasa English ini,” katanya.

Chelsea (baris dua, lima dari kanan) bersama wajah-wajah ceria murid-murid asrama SK Lusong Laku yang ditemui DayakDaily. Turut kelihatan Jefrey (baris dua, empat dari kanan).

Chelsea yang berasal dari Long Abit akan meneruskan pengajian ke Tingkatan 1 di SMK Bakun pada tahun hadapan.

Bagi Jefrey Mulinda yang turut menyambut ketibaan DayakDaily, beliau bercita-cita menjadi seorang guru.

Mengagumi guru-guru di sekolahnya, Jefrey yang aktif di dalam sukan berkata beliau juga ingin seorang pendidik satu masa nanti.

“Kami berterima kasih kerana mendapat sumbangan buku cerita pagi ini, saya ingin membaca kerana saya bercita-cita menjadi guru,” katanya yang juga merupakan anak Penan dari Long Abit.

Sejumlah lebih 160 murid yang majoriti anak Penan dari Long Abit, Long Kanyit, Kajang dan Lusong Laku bersekolah di SK Lusong Laku. — DayakDaily