Air Terjun Lusong Laku lubuk ikan ‘kayangan’ empurau

Nyawai (kiri) bersama Anthony seawal 7 pagi telah berada di air terjun Lusong Laku untuk memancing empurau.

Oleh Chris Bishop

BELAGA 10 Julai: Lubuk empurau Air Terjun Lusong Laku di Belaga menjana pendapatan tambahan kepada penduduk sekitarnya khususnya bagi masyarakat Penan.

Apa tidaknya, dengan kesabaran seseorang pemancing mampu menaikkan lebih daripada 3 ekor ikan kayangan tersebut sehari.


“Di bawah air terjun Lusong Laku ini ada ‘tebau’ (lubuk) ikan empurau, ada banyak di dalamnya.

“Pemancing boleh menaikkan ikan ini dari sebesar 1 kilogram hingga 6 kilogram pernah saya lihat.

“Kalau kena nombor, ia mencecah 5 hingga 6 kilogram bergantung kepada keadaan cuaca dan sungai,” kata Nyawai Igang yang ditemui DayakDaily awal pagi semalam.

Pasukan DayakDaily dalam misi menghantar lebih 1,000 buah buku ke SK Lusong Laku di mana majlis penyerahan buku-buku tersebut telah disempurnakan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Nyawai, 35, berbangsa Penan telah pun berada di air terjun tersebut seawal jam 7 pagi untuk memancing bersama rakan beliau Anthony Pengerang.

Menurut Nyawai lagi, empurau yang ditangkap ini dijual kepada peraih dari sekitar Bintulu, Miri, Sibu dan Belaga.

Katanya, harga adalah berbeza mengikut saiz di mana bagi yang seberat 2 kilogram dan ke atas adalah RM250 untuk sekilogram.

“Ikan empurau yang beratnya 2 kilogram ke atas iaitu sehinga 5 ke 6 kilogram adalah RM250 sekilogram.

“Jika di bawah 2 kilogram harganya adalah RM150 manakala di bawah 1 kilogram ialah RM45.

“Peraih akan datang 2 kali sebulan atau kadang-kadang ikan ini kami jual kepada pengunjung yang datang untuk melihat air terjun di sini,” ujar Nyawin.

Di pasaran luar, harga ikan empurau ini mampu mencecah antara RM700 hingga RM1,200 sekilogram.

Kelihatan Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon mencuba nasib memancing empurau.

Selain empurau, pemancing di lubuk tersebut juga kerap menaikan ikan semah dan ikan baong.

Air terjun Long Laku terletak di Hulu Sungai Linau, Belaga yang bagaikan menyerupai keindahan Niagara Fall di Kanada juga terkenal sebagai satu produk pelancongan negeri.

Untuk sampai ke air terjun Lusong Laku bukanlah suatu perkara yang senang. Ia memerlukan semangat yang kental, tabah dari segi mental dan fizikal.

Pengunjung perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan melalui jalan balak.

Perjalanan daripada Bandar Bintulu ke Lusong Laku memakan masa antara enam hingga lapan jam dengan bergantung kepada keadaan jalan dan kecekapan pemanduan. — DayakDaily