AMK Tuntut Abang Jo tangguh PRN

Graphics for illustration purposes
Advertisement

KUCHING, 6 Okt: Kebimbangan peningkatan jangkitan wabak COIVID-19 menjadi asas untuk pergerakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak menuntut kerajaan negeri Sarawak untuk menangguhkan sebarang rancangan untuk mengadakan pilihan raya negeri ke-12 (PRN-12) dalam waktu terdekat ini.

Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam berkata, walaupun kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengatakan PRN-12 semakin dekat tidak mengejutkan namum menyifatkan ia sebagai paluan ‘gendang perang’ yang tidak kena gaya, tempat dan ketika.

“AMK Sarawak tidak mahu negeri Sarawak dipertanggungjawabkan jika wabak Covid-19 merebak di luar kawalan akibat pilihanraya – tekanan yang terpaksa dipikul oleh negeri Sabah sekarang akibat kerakusan Perikatan Nasional -Barisan Nasional, rakan sekutu Gabung Parti Sarawak (GPS) untuk merampas mandat rakyat gagal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Katanya, situasi itu sudah pasti akan mengakibatkan peningkatan pergerakan merentas desa, pekan, daerah serta antara negeri yang akan menyebabkan perlanggaran pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Perkara tersebut secara tidak lansung akan menimbulkan kemudaratan besar terhadap rakyat Sarawak khasnya serta rakyat Malaysia secara umum sekiranya kadar jangkitan wabak COVID-19 merekodkan peningkatan yang mendadak selepas berlansungnya PRN-12 terbabit.

“Berdasarkan pengalaman pilihanraya di negeri Sabah dan tempat-tempat lain di negara kita selama tempoh Covid-19, jelas bahawa kita belum begitu bersedia setanding Singapura yang berjaya melangsungkan pilihanraya umum dengan kekangan pandemik Covid-19 tanpa kejadian yang tidak diingini atau sebarang implikasi negatif lain.

“AMK Sarawak turut menyeru agar Ketua Menteri Sarawak terus memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha-usaha memerangi Covid-19.

“Kita juga berharap agar kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif segar dan inovatif demi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi rakyat yang masih lagi terjejas akibat pandemik Covid-19 terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Saifunnizam berkata idea untuk mengadakan PRN-12 dalam masa terdekat ini sepatutnya tidak terlintas dalam pertimbangan kerajaan negeri memandangkan negara kini sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Ujarnya, kerajaan perlu lebih prihatin mengenai keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan petugas-petugas barisan hadapan terutama di Kementrian Kesihatan yang sedang bertungkus lumus untuk ‘menang’ dalam perang menentang Covid-19.

“Suka kami ingatkan bahawa keselamatan dan kemaslahatan rakyat harus diutamakan pada setiap masa dan keadaan,” katanya.-DayakDaily

Advertisement