PRN12: Tsunami Abang Johari kejutkan pembangkang

Sarawak polls (file photo).

KUCHING, 19 Dis: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan lebih dua pertiga kerusi pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) disifatkan satu kejutan kepada pembangkang di Sarawak dan Semenanjung.

Pemerhati politik Profesor Awang Osman berkata, ia adalah tsunami Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membuktikan politik yang ‘moderate’ menjadi kunci teras kepercayaan pengundi kepada kepimpinan GPS.

Malah dengan kemenangan besar ini katanya, GPS dijangka mampu menjadi kuasa penentu kepada percaturan politik persekutuan.


“Kepimpinan Abang Johari membuktikan sejak GPS mempunyai entiti sendiri dan bebas daripada naungan politik Semenanjung dan cuma mesra PN, lebih banyak GPS peroleh daripada kerajaan persekutuan.

“Misalnya cukai jualan Petronas, Sarawak mendapat hasil pendapatan baru sebanyak hampir RM3 bilion yang digunakan untuk membangunkan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Profesor Awang, kelulusan pindaan perlembagaan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 memberikan kepercayaan bahawa hanya GPS mampu berunding dengan Kerajaan Pusat.

Beliau yakin ini adalah langkah awal sebelum langkah seterusnya yang perlu disokong oleh rakyat Sarawak.

Dalam kenyataan itu, Profesor Awang berkata manifesto GPS yang lebih realistik, tidak menggunakan kad perkauman, menolak fahaman ekstrem seperti keluar Malaysia mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.

Ujar beliau, GPS tidak bersikap populis dalam manifesto mereka tetapi sesuai dengan realiti dan kehendak rakyat Sarawak.

“Kemenangan besar GPS menunjukkan hasrat rakyat Sarawak yang mahukan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan keharmonian.

“Naratif ini berjaya ditunjukkan oleh GPS dan sudah dibuktikan sejak Abang Johari menerajui Sarawak dan menambah baik dasar-dasar sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dengan peruntukkan lebih RM5 bilion ketika rakyat berdepan kesukaran ekonomi memberikan limpahan besar kepada rakyat Sarawak.

GPS pada PRN12 ini mencatat kemenangan besar 76 kerusi sekaligus mengatasi 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN11 pada 2016. — DayakDaily