Kemenangan besar GPS isyarat rakyat Sarawak tolak parti luar, kata Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 19 Dis: Kemenangan lebih dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12) semalam adalah kemenangan rakyat.

Menurut Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof, ia isyarat jelas bahawa rakyat Sarawak mengiktiraf parti tempatan iaitu GPS yang telah terbukti rekod cemerlangnya.

Katanya, rakyat menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau “parti luar” untuk mentadbir Sarawak.


“Kemenangan ini adalah amanah rakyat yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang telah dipilih.

“Berilah komitmen terbaik demi rakyat dan negeri Sarawak. Mandat ini juga adalah amanah rakyat bukan sahaja untuk ADUN GPS yang telah dipilih, malah untuk kami Ahli-Ahli Parlimen GPS,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya, di peringkat Persekutuan juga akan terus memberikan khidmat terbaik demi Sarawak dan Malaysia.

“Semoga gelombang kemenangan ini akan berterusan dan membawa kemenangan lebih besar kepada GPS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” ujar beliau.

GPS yang diterajui Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada PRN12 ini mencatat kemenangan besar 75 kerusi sekaligus mengatasi 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN11 pada 2016. — DayakDaily