KUCHING, 25 Okt: Sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang yang disyaki menjalankan aktiviti Skim piramid diserbu melalui Ops Rewards pada 19 Oktober lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, hasil serbuan melibatkan rampasan dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM967,720.29.
Katanya, pasukan serbuan turut menyeru 4 premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan bersama ini.
“Selain itu, 9 buah kenderaan mewah buatan BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan berjenama mewah milik suspek turut disita.
“Sebanyak 38 akaun di 7 buah bank dibekukan serta wang tunai disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, tujuh individu disyaki sebagai suspek kes terdiri daripada empat lelaki warga tempatan, dua perempuan warga tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan ditangkap untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, syarikat ini disyaki menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun yang lalu,” ujarnya.
Syarikat turut disyaki aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan negeri lain. — DayakDaily