Air minuman akan dihantar kepada penduduk yang terputus bekalan akibat kemarau – Fatimah

Fatimah pada sidang media di Kuching hari ini.

KUCHING, 26 April: Bekalan air minuman botol akan dihantar kepada penduduk yang terputus bekalan air di musim kemarau.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia merupakan persiapan kementerian bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka melanda negeri ini.

“Sekiranya satu-satu kawasan itu terputus bekalan air disebabkan kemarau, air hujan tiada dan air sungai berkurangan, maka penghantaran air minuman botol akan dilakukan.


“Kadar yang kita tetapkan ialah seorang penduduk mendapat 12 botol air minuman untuk tempoh seminggu.

“Sekiranya kemarau berlanjutan, maka bekalan air minuman botol akan terus dilakukan,” katanya di sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman beliau di Petra Jaya hari ini.

Tambah Fatimah, bekalan air tangki juga akan dihantar ke kawasan terjejas jika kemarau berterusan bagi satu tempoh panjang.

Katanya, penghantaran akan dilaksanakan pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Sementara itu ujar beliau, pihaknya juga akan mengwujudkan pengkalan hadapan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

“Fungsinya adalah untuk memastikan penghantaran bekalan air minuman dapat dilakukan dengan segera.

“Lokasi pengkalan hadapan berdekatan rumah panjang yang kita tahu ada sejarah putus bekalan air dan kawasan tersebut masih bergantung kepada tadahan air hujan,”kata Fatimah. — DayakDaily