Aidel: Projek Jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari siap penghujung 2022

Pandangan dari udara Projek Pembinaan Jalan Nanga Kesit-Ulu Lemanak-Engkari yang sedang dalam pelaksanaan.

Oleh Chris Bishop

LUBOK ANTU, 23 Ogos: Projek Pembinaan Jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari dengan kos RM35.7 juta dijangka siap pada penghujung tahun 2022 ini.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo, kemajuan fizikal projek di tapak sekarang sudah mencapai 55 peratus berbanding 71 peratus mengikut jadual asal.


“Walaupun ada sedikit lambat dalam 16 peratus, tetapi berdasarkan pemerhatian daripada udara, kita berasa yakin pihak kontraktor dapat menyiapkan projek ini dengan sempurna nanti.

“Projek Jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari ini dijangka siap mengikut jadual pada penghujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Komplek Sukan Lubok Antu hari ini.

Terdahulu Aidel telah melakukan tinjauan terhadap projek tersebut dari udara menggunakan helikopter bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen yang juga Adun Batang Ai.

Tambah Aidel, idea untuk membangunkan Jalan Nanga Kesit – Ulu Lemanak – Engkari telah dimulakan seawal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) tetapi belum dilaksanakan kerana kedudukan kewangan kerajaan yang ketat.

Kini katanya, projek sudah membuahkan hasil setelah kerajaan negeri memiliki pendapatan tambahan di mana ia dilaksanakan secara berfasa mengikut acuan yang diinginkan oleh penduduk dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Aidel (duduk tengah) pada sidang media selesai lawatan kerja meninjau tapak projek. Turut kelihatan Mussen (duduk dua darikiri).

“Ini salah satu projek di kawasan ini, ada banyak lagi projek yang sedang dalam peringkat penyediaan dokumen, tender serta menunggu kelulusan di peringkat kementerian untuk dilaksanakan di bawah RMK12.

“Justeru, saya percaya jika ini direalisasikan dalam RMK12, sudah tentu kawasan Lubok Antu akan memiliki akses yang baik dengan terbinanya jalan penghubung dan jambatan.

“Sudah tentu banyak lagi kawasan di sini akan dibuka, dibangunkan untuk pelbagai tujuan demi kepentingan penduduknya,” kata Aidel.

Projek ini juga turut melibatkan pembinaan Jambatan Lubok Subong di Nanga Kesit dengan kos RM5.5 juta yang diluluskan pada tahun 2019.

Mengulas berhubung Projek Pembinaan Jalan Ulu Skrang, Aidel berkata jalan sepanjang 50km itu dilaksanakan secara berfasa dengan kos RM28.5 juta.

Katanya, projek yang diluluskan di dalam RMK11 itu melibatkan kawasan Ulu Layar, Engkilili dan Skrang.

Projek turut melibatkan pembinaan 8 buah jambatan iaitu Jambatan Sungai Darai, Ulu Darai, Sungai Akup, Sungai Entabulus, Sungai Buak, Sungai Penabun, Sungai Menjuau dan Sungai Paya.

“Walaupun Jalan Ulu Skrang bukan sebahagian daripada kawasan Lubok Antu, namun saya yakin satu hari nanti ia akan disambungkan juga dan sudah tentu bakal membuka banyak lagi kawasan baru di Skrang, Lubok Antu termasuk Lemanak,” ujar Aidel.

Di dalam RMK12, kerajaan juga telah meluluskan Projek Pembinaan Jalan Sebeliau – Bilararap dengan kos RM288 juta dan bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk dari 28 buah rumah panjang.

Sementara itu tambah Aidel, peruntukan bagi membiayai kesemua projek ini diprolehi dari dua sumber iaitu kerajaan negeri menerusi GPS dan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kita di peringkat kementerian Infrastruktur akan menyelaras kedua-dua peruntukan ini untuk dimajukan, dipercepatkan di semua peringkat pelaksanaan,” katanya.

Pada lawatan kerja itu, Aidel dan Mussen turut mengadakan sesi dialog bersama ketua-ketua masyarakat khususnya dari kawasan Nanga Kesit, Lemanak, Engkari dan Batang Ai.

Sesi dialog tersebut turut dihadiri pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman yang diketuai Jurutera Bahagian Ir Minjo. — DayakDaily