Ahli Parlimen GPS kini ‘bebas’ bersuara perjuangkan hak Sarawak — KM

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

LAWAS, Julai 17: Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini boleh bersuara secara ‘bebas’ dalam Persidangan Parlimen dalam memperjuangkan serta menuntut semula hak-hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Ahli Parlimen GPS kini sudah mampu membuat keputusan sendiri malah tidak lagi ditentukan pihak luar menerusi amalan ‘whip’ dalam Parlimen.

Katanya, kesemua 19 Ahli Parlimen GPS akan memberikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH), namun tidak akan menyertai gabungan PH.

“GPS akan memberi sokongan kepada dasar-dasar yang baik yang dirancang oleh kerajaan PH khususnya melibatkan kepentingan rakyat di negeri Sarawak,” katanya dalam Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Lawas di Awat-Awat di sini.

Pada Jun 12 lalu, Abang Johari telah mengumumkan keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN dengan menubuhkan GPS adalah demi survival politik dan kelangsungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu.

GPS yang dibentuk akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan nasional serta kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Dalam PRU14 lalu, parti Barisan Nasional (BN) Sarawak (sebelum tubuh GPS) berjaya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1). — DayakDaily