498 unit pangsapuri dirancang pembinaannya di Bintulu

Silhouettes of workers on a construction site. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Julai 17: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) merancang untuk membina 498 unit pangsapuri di Bintulu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, kertas cadangan berhubung pembinaan pangsapuri itu sudah dihantar ke Majlis Perancangan Negeri (SPA) untuk kelulusan.

Jelas beliau, HDC telah membuat kajian untuk pelaksanaan projek yang mampu milik berkenaan iaitu dengan harga antara RM100,000 hingga RM120,000.

“HDC juga akan bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei bagi mencari tapak atau lokasi yang sesuai untuk pembangunan projek pangsapuri berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim memberitahu, dalam usaha mengatasi masalah banjir di kawasan bandar raya Kuching, sebuah entiti baharu iaitu Pengurusan Air Hujan Bandar Sarawak (SUStoM) akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Ujarnya, SUStoM diperkenalkan bagi mengawal kes penurunan air hujan sebelum mengalir keluar ke sistem pengaliran dan sungai di kawasan berhampiran.

“Selain itu, saya ingin maklumkan status projek tebatan banjir di Jalan Tun Razak, Bintulu kini telah siap 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Manakala, projek tebatan banjir fasa tiga di Sibu masih tergendala kerana masih menunggu keputusan akhir oleh kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kini,” jelasnya lagi.

Sambil menambah, Dr Sim memberitahu, kerajaan negeri ini telah meluluskan dana sebanyak RM11.98 juta bagi melaksanakan lima projek iaitu naik taraf saliran di bandar Lawas, Hospital Umum Sarawak, Kampung Gita, Kampung Jeriah dan Kampung Bahagia. — DayakDaily