ADUN Batu Lintang harus minta maaf — Syed Hamzah

File photo for illustration purposes

KUCHING, 30 Jun: Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie gesa ADUN Batu Lintang See Chee How agar segera memohon maaf kepada pegawai-pegawai Tekun Nasional Sarawak.

Menurut Syed Hamzah, See telah menuduh bahawa ada pegawai Tekun Sarawak menafikan kewujudan skim Tekun Mobilepreneur (1.0 dan 2.0).

Katanya, kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengurus Tekun Nasional Sarawak Roslan Ais pada Ahad lepas (28 Jun) jelas mengesahkan pengumuman Menteri Medac Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bahawa Skim Pembiayaan Tanpa Faedah kepada ‘rider’ penghantaran (Tekun Mobileprenuer 1.0 dan 2.0) adalah benar dan wujud.


“Kenyataan Roslan juga telah menyanggah tuduhan See yang menuduh pegawai Tekun Sarawak yang menafikan kewujudan skim Tekun Mobilepreneur tersebut.

“Ia adalah tidak benar, bahkan Roslan menegaskan semua pegawai-pegawai Tekun Nasional Sarawak mengetahui program ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Justeru tegas Syed Hamzah, See seharusnya memohon maaf di atas fitnah dan mengeluarkan berita tidak benar kepada pegawai-pegawai Tekun Nasional Sarawak.

Apa yang lebih memalukan, tambah Syed Hamzah, See pula cuba hendak menutup silapnya dengan menuduh Wan Junaidi telah memberi maklumat yang salah mengenai jumlah dana Tekun Mobileprenuer.

Katanya, Wan Junaidi secara jelas telah menyatakan jumlah peruntukan Tekun Mobileprenuer (1.0 dan 2.0) yang sama seperti yang dinyatakan Roslan.

“Beliau selaku menteri yang mencadangkan dana tersebut dan mendapatkan kelulusan dari kerajaan, maka pastinya beliau lebih mengetahui setiap program keusahawanan yang diumumkan,” ujar beliau lagi.

Menurut Syed Hamzah, Wan Junaidi telah mengumumkan jumlah keseluruhan dana untuk Pelan Pemulihan Usahawan yang merangkumi 30 program untuk tahun 2020 dan 2021 ialah berjumlah RM452.8 juta.

Manakala sejumlah RM400 juta pula adalah pembiayaan makro untuk Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) dan dari jumlah ini, sejumlah RM50 juta adalah khusus untuk usahawanita.

Sejumlah RM200 juta lagi untuk memperkasakan usahawan Bumiputera melalui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Menerusi kenyataan itu juga, Syed Hamzah berkata bahawa See cuba menutup malunya dengan membuat tuduhan liar bahawa kerajaan hanya memasukkan etnik tertentu dalam kemudahan kredit tanpa faedah ini. — DayakDaily