ADUN Batu Kitang bantah penutupan persimpangan lampu isyarat Batu 6

Kelihatan Lo (kiri) dalam perbincangan dengan pihak kontraktor berhampiran persimpangan lampu isyarat Batu 6.

KUCHING, 28 Sept: ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang menolak sekerasnya cadangan pihak kontraktor untuk menutup persimpangan lampu isyarat Batu 6, Jalan Kuching-Serian dalam masa terdekat ini.

Katanya, penutupan persimpang itu akan memburukkan lagi kesesakan lalulintas yang pada masa ini terkesan ekoran penutupan persimpangan lampu isyarat di Batu 7.

“Pihak kontraktor bercadang menutup persimpangan Batu 6, saya sangat marah sebab persimpangan di Batu 7 belum siap, persimpangan Batu 10 pun belum siap.


“Sekarang persimpangan Batu 6 mahu ditutup, mana boleh, saya katakan tak boleh,” katanya ketika ditemui setelah mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor berhanpiran persimpangan Batu 6 hari ini.

Pihak kontraktor terdahulu berkata, persimpangan itu terpaksa ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan jalan.

Tetapi jelas Lo, persimpangan (Batu 6) tidak boleh ditutup pada masa ini sehingga persimpangan Batu 7 siap dan purata kenderaan yang melalui jalan tersebut setiap hari ialah 40,000 hingga 50,000.

Menurut beliau, laluan alternatif iaitu Jalan Sungai Tapang melalui Pekan Batu 7 juga sentiasa sesak.

“Oleh itu, sebelum kontraktor menutup persimpangan Batu 6, persimpangan Batu 7 mesti dibuka terlebih dahulu.

“Lampu isyarat di Batu 7 mesti beroperasi terlebih dahulu. Itu syarat yang saya berikan,” tegas Lo.

Pada perbincangan itu kata Lo, pihak kontraktor bersetuju untuk menutup persimpangan Batu 6 dalam tempoh dua minggu lagi iaitu setelah lampu isyarat Batu 7 beroperasi.

Katanya yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), ia dijangka berlaku pada pertengahan Oktober ini.

Untuk melancarkan aliran trafik, tambah Lo, pihak kontraktor telah diarahkan untuk membuka jalan (pusingan-U) berhadapan Terminal Bas di Kuching Sentral.

Menurut Lo, beliau bertanggungjawab memantau perjalanan projek dan trafik kerana ia di dalam kawasan seliaan MPP dan ramai penduduk terjejas.

“Bukan hanya penduduk di kawasan MPP terjejas, seluruh Kuching pun merasakan kesesakan jalan ini,” ujar Lo. — DayakDaily