Abdul Karim: Parlimen dibubar selepas pembentangan Bajet 2023

Abdul Karim (duduk tengah) pada Perjumpaan Bersama Chef-de-Mission dan Pegawai-Pegawai Kontinjen Sukma Ke-20 Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Ogos: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Parlimen akan dibubar selepas pembentangan Bajet 2023.

“Saya sangat yakin Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir.


“Kemungkinan selepas temasya Sukan Malaysia (Sukma). Selepas Sukma akan diadakan pembentangan Bajet 2023 iaitu pada 7 Oktober.

“Selepas itu saya merasakan bahawa Parlimen akan dibubar. Semua tahu dan ia bukan rahsia lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Bersama Chef-de-Mission dan Pegawai-Pegawai Kontinjen Sukma Ke-20 Sarawak di Kuching pada malam ini.

Sukma Ke-20 bakal diadakan di Kuala Lumpur mulai 16 hingga 25 September ini.

Pada masa ini, tambah Abdul Karim, ahli-ahli politik dan pemimpin di negeri-negeri lain sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menghadapi PRU15.

Katanya, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, dan exco negeri memikirkan sama ada mereka akan dicalonkan semula.

Justeru katanya, pada Sukma kali ini Sarawak memiliki peluang cerah untuk muncul sebagai juara keseluruhan.

“Sarawak telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukma Ke-20 jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Untuk menjadi juara, Sarawak perlu meraih sekurang-kurangnya 55 pingat emas,” ujar Abdul Karim

Hadir sama Chef-de-Mission yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu. — DayakDaily