Abdul Karim gesa JPBNS buka aktiviti pelancongan secara berperingkat

Fail foto: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

ASAJAYA, 20 Sept: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan aktiviti pelancongan di Sarawak pada masa ini sudah boleh dibenarkan dibuka.

Beliau berkata pembukaannya harus dilaksanakan secara berperingkat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tertentu.

“Kerajaan negeri memang tidak memerlukan kuarantin tapi ada syarat-syarat tertentu dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) belum lagi membuka sepenuhnya industri pelancongan.


“Bagi saya, industri pelancongan kita boleh dibuka tetapi tidak secara mendadak.

“Kalau hendak buka kedai urut, tiada masalah pada saya sebab kedai gunting rambut boleh. Industri pelancongan ini akan menjana pendapatan kepada negeri,” katanya pada sidang media selesai Majlis Perasmian Program Kepolisan Komuniti Daerah Asajaya 2021 di Asajaya, hari ini.

Tambah Abdul Karim, ‘dine-in’ di kedai makan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti pelancongan sudah dibenarkan mulai hari ini di zon selatan dan telah mendapat respon baik daripada masyarakat.

“Sebelum dine-in ditutup, kes positif harian hanya sekitar 200 hingga 300 sahaja, tetapi setelah ianya ditutup, bilangan kes meningkat mendadak sekitar 2,000 hingga 3,000 kes.

“Adakah peningkatkan jumlah kes ini disebabkan dine-in?” ujar Abdul Karim.

Justeru, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menggesa pihak berwajib menjalankan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, industri pelancongan di Sarawak mesti dibuka sebagaimana Langkawi.

Abdul Karim juga berpandangan bahawa pada masa ini, Sarawak sudah memasuki era endemik Covid-19 walaupun ianya belum diumumkan. — DayakDaily