576 calon duduki peperiksaan SPM Ulangan mulai esok

Foto fail menunjukkan pelajar SMK Bandar Samariang bergerak keluar daripada dewan peperiksaan selepas menduduki peperiksaan SPM.

KUCHING, 20 Sept: Seramai 576 orang calon dari Sarawak akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2021 yang diadakan serentak di seluruh negara mulai esok, 21 hingga 23 September 2021.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan berkata, semua calon akan menduduki peperiksaan tersebut di 18 buah pusat peperiksaan.

Katanya, ia melibatkan 13 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Kebangsaan (3), Sekolah Swasta (1), Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, dan Pejabat Pendidikan Daerah (1).


“Semua calon diminta merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan SPMU untuk mendapatkan maklumat mengenai butiran peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” katanya.

Jadual waktu peperiksaan SPMU boleh dimuat turun menerusi portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my.

Di samping itu, calon juga perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam.

Garis panduan tersebut boleh dimuat turun menerusi portal KPM di https://www.moe.gov.my dan hendaklah dibaca bersama-sama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan Covid-19.

“Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu. — DayakDaily