Abdul Karim: Gagal tunai janji, Chong dilabel sebagai seorang pemimpin yang gagal

Abdul Karim menunjukkan laporan akhbar tempatan berhubung janji terbaru Chong pada sidang media di Kuching hari ini (Feb 10, 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Feb 10: Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melabel Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebagai seorang pemimpin yang sentiasa gagal menunaikan janji.

Katanya, Chong telah kerap menabur janji kepada rakyat setiap kali menjelang pilihanraya tetapi tiada satu pun yang berjaya ditunaikan.


“Beliau pernah berjanji sebelum PRU lepas bahawa jika Pakatan Harapan berkuasa, bayaran royalti minyak kepada Sarawak akan dinaikkan dari 5 kepada 20 peratus.

“Janji kedua yang beliau buat yang juga merupakan salah satu daripada manifesto PH ialah 50 peratus cukai yang dikumpul di Sarawak akan beri balik kepada negeri.

“Di mana semua janji ini? Sudah dua tahun PH menjadi kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau membuat pengumuman 1st TAFISA Asian-Sport For All Games yang bakal diadakan di Sarawak pada tahun 2022.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, jika seorang berjanji dan gagal menunaikannya, beliau telah melakukan penipuan.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung janji terbaharu yang dibuat Chong kepada penduduk di Kampung Selangan Batu, Pending pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di kampung tersebut semalam.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaporkan berkata, geran tanah akan dikeluarkan kepada penduduk Kampung Selangan Batu jika PH mengambil alih kerajaan negeri pada PilihanRaya Negeri(PRN) akan datang.

“Semalam beliau (Chong) sekali berjanji bahawa geran tanah akan dikeluarkan kepada penduduk jika PH berkuasa.

“Banyak pandai… beliau tahu manusia mudah lupa dan telah melupakan janji-janji beliau terdahulu.

“Sekarang beliau berjanji geran tanah akan diberikan kepada rakyat,” katanya sambil menyifatkan Chong adalah pakar dalam menabur janji.

Secara pribadi, tambah Abdul Karim, Chong dilihat sebagai seorang pemimpin yang telah gagal menunaikan janji-janji pada setiap kali pertemuan dengan beliau. — DayakDaily