Abang Johari: Yuran pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak ditanggung Kerajaan Sarawak

Abang Johari(dua dari kiri) mendengar taklimat berhubung pembinaan sekolah tersebut sebaik sahaja tiba.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 SEPT: Yuran pelajar-pelajar yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan memberi peluang kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah khususnya dari luar bandar menimba ilmu di dalam persekitaran yang kompetitif.

“Pelajar-pelajar dari luar bandar yang mempunyai keputusan yang baik seperti anak petani, anak nelayan dan golongan berpendapatan rendah walaupun pandai di dalam pelajaran, mereka tidak dapat belajar di dalam persekitaran yang kompetitif.

“Saya nampak, golongan ini tidak boleh dipisahkan. Kalau anak pandai dengan keputusan A semuanya, kita harus membentuk dan menempatkan mereka di persekitaran yang kompetitif.

“Dengan persaingan daripada rakan-rakan lain, mereka akan meningkatkan kebolehan dari sudut pendidikan dan inilah tujuan kerajaan membina sekolah antarabangsa.

“Yurannya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak iaitu kerajaan negeri akan tanggung sebab kos operasinya mahal dan ia untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam pendidikan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Tapak Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian hari ini.

Abang Johari(lima dari kiri) pada majlis pecah tanah tapak Sekolah
Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Kuching.

Sarawak akan membina lima sekolah antarabangsa iaitu dua di Kuching dan masing-masing satu di Sibu, Bintulu dan Miri.

Menurut Abang Johari lagi, penubuhan sekolah antarabangsa itu memberi manfaat kepada generasi muda agar mereka menimba ilmu ke peringkat tertinggi dan seterusnya membantu membangunkan negeri.

Katanya, ia juga akan menaikkan taraf pendidikan di Sarawak ke peringkat antarabangsa.

“Pelajar-pelajar bakal menyambung pelajaran ke universiti antarabangsa milik Sarawak seperti Universiti Swinburn di Kuching, Universiti Curtin di Miri dan UCTS di Sibu.

“Mereka akan diberi pendidikan yang bersesuaian dengan peredaran zaman yang berkisar kepada teknologi kerana masa depan sesebuah negara bergantung kepada teknologi,’kata Abang Johari.

Dalam pada itu tambah beliau, pelajar-pelajar yang cemerlang dari sekolah antarabangsa itu nanti akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia.

Pembinaan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian akan mengambil masa selama 18 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2022.

Sekolah tersebut dijangka memulakan operasi menjelang tahun 2023 dan akan menggunakan silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), Cambridge.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong. — DayakDaily