Abang Johari: Satu sekolah pun tak siap, Sarawak tangguhkan bayaran program baik pulih

Abang Johari(tiga dari kiri) pada Perasmian Kolokium Keagungan Al-Quran di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Feb:
KUCHING, FEB 18:Sarawak mempertimbang untuk menangguhkan bayaran baki
RM300 juta kepada Kerajaan Persekutuan di atas kegagalan melaksanakan
kerja-kerja baik pulih sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia harus
difikirkan kerana tiada satu pun sekolah telah dibaik pulih walaupun
bayaran pertama dan kedua berjumlah RM700 juta telah dibuat pada Ogos
2019 dan Februari ini.


“Jika mereka (Kerajaan Persekutuan) tidak melaksanakannya, bagaimana
saya hendak meneruskan pembayaran.

“Saya risau bayaran tersebut ysng sepatutnya dimasukkan ke dalam
‘consolidated fun’ digunakan di kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perasmian
Kolokium Keagungan Al-Quran yang diadakan di Dewan Kompleks Islam
Sarawak di sini, hari ini.

Atas kegagalan itu, Abang Johari turut menyifatkan Kerajaan
Persekutuan telah melanggar perjanjian program baik pulih sekolah daif
di negeri ini.

Kerajaan Sarawak menjelaskan bayaran pertama sebanyak RM350 juta dan
kedua juga RM350 juta daripada RM1 bilion hutangnya kepada Kerajaan
Persekutuan, untuk digunakan semula bagi proses membaik pulih sekolah
daif.

Bayaran ketiga sebanyak RM300 juta lagi dijadualkan dijelaskan pada
Mei 2020 ini.

Terdahulu pada ucapannya di majlis tersebut, Abang Johari berkata
Sarawak mengharapkan sekolah-sekolah daif di negeri ini dibaik pulih
dengan menggunakan bayaran tersebut.

“Sarawak telah menjelaskan bayaran, saya fikir dia (kerajaan
persekutuan) buat sekolah, nampaknya satu sekolah pun belum dibuat.

“Mangsanya adalah pelajar-pelajar kita yang di luar bandar dan inilah
yang membuat saya marah,” katanya.

Di samping itu ujar beliau lagi, Jabatan Kerja Raya(JKR) Sarawak pula
tidak diberi kuasa untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih.

Menurut Abang Johari, Sarawak berhutang dengan Kerajaan Persekutuan
kerana pinjaman adalah hak negeri di dalam perlembagaan.

Setakat 2019, sejumlah 1,020 sekolah di seluruh Sarawak berada di
dalam kategori daif dengan 415 buah daripada jumlah tersebut dalam
kategori sangat daif.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Michael
Manyin akan bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
untuk mendapat penjelasan terperinci berhubung isu tersebut. —DayakDaily