Abang Johari mahu pemberian geran Perkara 112D berdasarkan formula

Abang Johari (depan, kanan) memukul gendang sebagai simbolik Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 30 Okt: Pemberian geran menerusi Perkara 112D Persekutuan kepada Sarawak hendaklah dilakukan menggunakan formula, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia hendaklah berdasarkan satu formula betul bagi mendapatkan jumlah yang wajar diagihkan kepada Sarawak.


“Ada tiga perkara belum selesai berhubung tuntutan Perjanjian Malaysia 1963, satunya ialah hak kita di bawah Perkara 112D di mana Kerajaan Persekutuan mesti memberi geran.

“Kita minta geran dengan formula, kita tidak mahu ianya seperti ‘meri manok makan’ dan kita nyatakan mesti ada formula.

“Kalau ekonomi Malaysia baik maka kongsi bersama dan kalau ekonomi susah maka kita susah bersama.

“Ini adalah semangat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kita tidak minta lebih,” katanya di Perasmian Pelancaran Jentera Wanita GPS bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Tambah Abang Johari yang juga pengerusi GPS, perkara kedua dan ketiga adalah berhubung mengembalikan semula Mahkamah Borneo dan pengiktirafan terhadap jabatan teknikal Negeri.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan harus mengiktiraf jabatan teknikal negeri untuk melaksanakan projek-projek persekutuan di Sarawak.

“Kita (Sarawak) ada banyak jurutera dan kalau hendak membina jalan raya bukannya susah.

“Tak perlu jurutera daripada Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak,” kata Abang Johari. — DayakDaily