Abang Johari kecewa Ali Biju langgar perjanjian

Abang Johari (dua dari kanan) pada sidang media selesai Pelancaran Manifesto GPS.

KUCHING, 8 Dis: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kecewa dengan tindakan Datuk Ali Biju yang melanggar perjanjian yang dipersetujui sempena Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak.

Terdahulu kata Abang Johari, Presiden Parti Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan untuk tidak terlibat dalam pilihan raya negeri.

“Memang saya sangat kecewa kerana kita ada perjanjian, sebab beliau (Muhyiddin) memberitahu saya bahawa tiada Bersatu terlibat di dalam pilihanraya ini,” kata Abang Johari.


Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Pelancaran Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Berhubung perkara tersebut, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata Muhyiddin telah membuat kenyataan bahawa tindakan akan diambil terhadap Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Pada proses penamaan calon Isnin lepas, Ali Biju yang merupakan penyandang DUN Krian telah mengesahkan bertanding di Krian sebagai calon bebas selepas menyerahkan borang penamaan calon.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu akan mengambil tindakan terhadap Ali kerana bertanding sebagai calon bebas bertentangan dengan arahan parti.

Beliau berkata Muhyiddin sebelum ini mengumumkan parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri dan akan memberi sokongan penuh kepada calon GPS.

“Perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas termasuk boleh terhenti keahlian serta merta.

“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya semalam.

Pada PRN ini, Ali Biju bertanding mempertahankan kerusi DUN Krian yang dimenanginya sejak 2016 pada PRN-11.

Beliau memperolehi 5,388 undi dengan majoriti 1,640 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Kilat Beriak. — DayakDaily