Abang Johari: GPS tidak akan beri sokongan kepada DAP

Abang Johari pada Majlis Pelancaran GPS Zon 12B-Belaga dan Murum.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, FEB 29: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata Gabungan Parti Sarawak(GPS) tidak akan menyokong DAP yang pernah menuduh Sarawak akan bankrap.

Katanya, GPS ada pendirian dan tidak bodoh untuk menyokong parti tersebut.


“Pernah pemimpin dari sebuah parti(DAP) mengeluarkan kenyataan bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun.

“Sekarang parti tersebut meminta sokongan daripada GPS, bodoh jika kita menyokong. Kita ada pendirian dan selagi parti tersebut ada, kita harus berhati-hati.

“Parti tersebut hanya ingin menawan Sarawak selain menuduh pemimpin GPS tidak pandai mentadbir negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran GPS Zon 12B-Belaga dan Murum di Tapak Pesta Apau Koyan di Belaga.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu majlis di Kuching pada Jun tahun lepas berkata, Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun di bawah pentadbiran GPS.

Lim yang juga bekas Menteri Kewangan berkata dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa tiga tahun.

Pada majlis yang sama, Abang Johari sebagai Pengerusi GPS memberi jaminan sebarang keputusan yang diambil oleh GPS berhubung kemelut politik Persekutuan adalah demi kepentingan negara.

Tegas beliau, GPS menetapkan keputusan itu tanpa mengorbankan hak dan kepentingan negeri serta rakyat Sarawak.

Katanya, tumpuan utama ketika ini harus difokuskan kepada usaha untuk memastikan kestabilan politik Malaysia untuk menjamin rakyat terus maju.

“GPS akan sokong tetapi kerajaan yang ditubuhkan itu nanti mesti memberi sokongan balik kepada kita. Jika tidak, ianya tidak sama rata.

“Sebarang keputusan dari GPS akan memihak kepada kehendak rakyat Sarawak. Kita tidak mahu pemimpin yang sekejap ke kiri, sekejap ke kanan,”katanya.

Di samping menurut Abang Johari, GPS yang berada di kedudukan sebagai penentu Kerajaan Persekutuan menggesa Petronas untuk membayar cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum yang dikenakan bermula 1 Januari 2019 lepas.

Ujar beliau, cukai jualan yang berjumlah RM1.3 bilion itu harus dibayar jika mahukan sokongan daripada GPS.

GPS mempunyai 18 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (2), Parti Demokratik Progresif (2) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak
(1). —DayakDaily.