999,853 hektar tanah NCR berjaya disukat, 776,226 hektar diwartakan

Awang Tengah(duduk tiga dari kanan) pada penyerahan surat milik tanah pada Ahad.
Advertisement

KUCHING, 5 Okt: Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang bermula pada 2010 berjaya meningkatkan jumlah tanah yang disukat berbanding kaedah lama, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Tengah berkata, seluas lebih kurang 999,853 hektar atau 2.47 juta ekar telah pun berjaya disukat secara perimeter dari tahun 2010 hingga kini.

“Daripada jumlah tersebut, seluas 776,226 hektar atau 1.9 juta ekar telah pun diwartakan,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan Surat HakMilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Kampung Nusah dan Kampung Sebalik Tiris, Bekenu pada Ahad.

Pada program tersebut, Kerajaan Sarawak menyerahkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi Kawasan Kampung Nusah Ulu Satap dan Kampung Sebalik Tiris secara simbolik kepada 50 orang penerima dari kaum Melayu Kedayan.

Sementara itu, lebih kurang 362 surat hak milik tanah akan diserahkan kepada 165 orang penerima selesai majlis bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli II, Jabatan Tanah dan Survei telah diarahkan untuk memberi fokus kepada Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini di semua kawasan.

Katanya, ia dilaksanakan di di seluruh bahagian dan merangkumi semua kaum bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah hak adat bumiputera.

“Setakat ini, sebanyak 46,346 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 55,970 hektar (138,305 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement